Dua lelaki homoseksual dijatuhkan hukuman sebat 82 kali oleh Mahkamah Syariah di Banda Aceh, Aceh, Indonesia pada 23 Mei, 2017. Kedua-dua lelaki ini dihukum bersabit Qanun nombor 6, tahun 2014, artikel 63, perenggan 1 berhubung Undang-Undang Liwath. Aceh adalah satu-satunya daerah di Indonesia yang menguatkuasakan undang-undang Syariah. 

© 2017 Sipa via AP Images

(Jakarta, 18 Januari, 2018) – Kerajaan Presiden Indonesia, Joko “Jokowi” Widodo gagal menangani sikap tidak bertoleransi yang semakin parah sehingga mencetuskan diskriminasi dan keganasan terhadap warga minoriti rentan Indonesia yang paling terancam, ujar Human Rights Watch hari ini dalam Laporan Dunia 2018.

Kumpulan agama minoriti terus berdepan undang-undang dan peraturan bersifat diskriminasi, gangguan, intimidasi dan keganasan daripada militan Islam. Pada awal  tahun 2017, Kementerian Agama mengusulkan rang undang-undang hak agama yang menguatkan lagi undang-undang bersabit kesalahan menghina agama, termasuk dekri kerajaan yang mendiskriminasi termasuk menyukarkan kumpulan minoriti agama untuk memperoleh permit bagi membina rumah ibadah. Pada 9 Mei, sebuah mahkamah di Jakarta menjatuhkan hukuman penjara dua tahun ke atas gabenor Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama, seorang penganut Kristian, bersabit kesalahan menghina Islam.

“Kerajaan Jokowi mengambil sikap tidak peduli terhadap serangan yang semakin ganas ke atas warga minoriti agama dan seksual,” menurut Phelim Kine, timbalan pengarah Human Rights Watch di Asia. “Penguatkuasa menggunakan undang-undang penghinaan agama yang amat kabur untuk menjadikan beberapa kumpulan agama sebagai sasaran, sementara pihak polis pula melakukan serbuan yang melanggar etika terhadap golongan LGBT.”

Kerajaan Jokowi mengambil sikap tidak peduli terhadap serangan yang semakin ganas ke atas warga minoriti agama dan seksual.

Phelim Kine

Timbalan Pengarah

Dalam Laporan Dunia edisi ke-28 setebal 643 mukasurat, Human Rights Watch melaporkan amalan hak asasi manusia di lebih 90 negara. Dalam esei perutusannya, Pengarah Eksekutif, Kenneth Roth menyebut bahawa pemimpin politik yang berani menegakkan prinsip hak asasi manusia menunjukkan agenda populis autoritarian mampu dikekang. Dengan gandingan orang awam yang lantang bersuara serta pemain multilateral yang efektif, pemimpin-pemimpin ini membuktikan bahawa kerajaan antihak asasi masih dapat dipatahkan.

Ekoran retorik kerajaan yang bertubi-tubi dengan unsur kebencian terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) pada 2016, pihak berkuasa menjadikan pertemuan kumpulan dan individu LGBT sebagai sasaran pada tahun 2017—suatu ancaman serius kepada privasi dan inisiatif kesihatan awam di Indonesia.

Kerajaan tidak mengambil sebarang tindakan terhadap pegawai penguatkuasa keselamatan dan samseng besar yang cuba menghalang diskusi perdamaian berkenaan pembunuhan kejam beramai-ramai tahun 1965-66 yang menyaksikan pihak tentera dan militia yang didukung tentera membunuh kira-kira 500,000 sehingga 1 juta orang yang disyaki komunis serta bangsa Cina. Pada bulan Ogos, polis dan pegawai militia Indonesia memaksa pembatalan bengkel awam yang membincangkan bayaran pampasan kepada mangsa yang terselamat serta mangsa pembunuhan kejam beramai-ramai tersebut. Pada 16 September pula, pihak penguatkuasa menghalang Institut Bantuan Guaman Jakarta daripada melangsungkan seminar mengenai pembunuhan itu.

Pegawai penguatkuasa keselamatan Indonesia jarang-jarang dikenakan hukuman yang setimpal dengan kekejaman serius yang mereka lakukan, termasuklah pembunuhan. Pada bulan September, panel siasatan etika polis Indonesia memutuskan bahawa empat polis yang bersalah melepaskan tembakan terhadap warga Papua yang sedang melakukan protes di daerah Deiyai pada 1 Ogos sehingga membunuh seorang pemuda, hanyalah bersalah atas “kelakuan tidak wajar” dan menjatuhkan hukuman ringan iaitu turun pangkat dan perlu membuat permohonan maaf terbuka, tanpa perlu berdepan dengan sebarang hukuman jenayah. Namun begitu, warga Papua dan Maluku pula masih terperuk dalam penjara atas tuduhan “pengkhianatan” hanya kerana menyertai protes aman terhadap kerajaan Indonesia.

Sementara itu, Komnas Perempuan, iaitu lembaga rasmi Indonesia yang menentang kekerasan ke atas perempuan, melaporkan bahawa terdapat beratus-ratus peraturan di peringkat negara dan wilayah yang mendiskriminasi perempuan. Ini termasuklah undang-undang wilayah yang memaksa wanita dan gadis untuk memakai jilbab (tudung kepala) di sekolah, pejabat kerajaan dan tempat awam. Pada bulan November, pegawai tentera dan polis atasan mengakui bahawa pihak berkuasa masih menjalankan ‘ujian dara’ yang kejam dan bersifat diskriminasi terhadap pemohon kerja perempuan. Ujian-ujian tersebut diklasifikasikan secara rasmi sebagai ujian “psikologi,” atas alasan menguji “kesihatan mental dan nilai moral.”

“Pada tahun ini, Presiden Jokowi wajar menampakkan kepimpinannya dengan memastikan keadilan ditegakkan bagi mangsa kekejaman, sama ada yang berlaku 50 tahun dahulu atau sekarang,” ujar Kine. “Kegagalan menghukum pihak yang bertanggungjawab atas pencabulan hak manusia akan mendedahkan lebih ramai daripada golongan rentan kepada risiko dicabuli pada masa akan datang.”