TERKINI, 13 Jun 2017: Kementerian Kesihatan mengedarkan garis panduan baharu pertandingan dengan penambahbaikan, berlatarkan konsep gender dan seksualiti berasaskan hak.  

                                                                                                       ***

TERKINI: Pada 7 Jun, Kementerian Kesihatan Malaysia mengadakan perbincangan bersama-sama beberapa aktivis, termasuk aktivis transgender, Nisha Ayub dan wakil daripada Majlis AIDS Malaysia.  Aktivis terlibat menyuarakan rasa kurang senang disebabkan tema Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif Peringkat Kebangsaan yang mengaibkan. Susulan daripada itu, Kementerian bersetuju mengubah kategori “Kecelaruan Gender” kepada “Gender dan Seksualiti” dan mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung isu tersebut. Kementerian juga menegaskan komitmennya untuk tidak mendiskriminasi mana-mana pihak. Pihak Kementerian berjanji akan mengedarkan garis panduan baharu pertandingan tersebut, yang akan disiarkan oleh Human Rights Watch sebaik sahaja garis panduan tersebut diumumkan.

                                                                                                       ***

(Bangkok) – Pengumuman Kementerian Kesihatan Malaysia menjemput penyertaan Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif Peringkat Kebangsaan secara tidak langsung menyebarkan teori bahawa identiti lesbian, gay dan transgender boleh “dicegah” atau “dikawal,”suatu teori yang silap dan berbahaya, begitu menurut Human Rights Watch hari ini.

Jina, wanita transgender berusia 22 tahun dengan tatu gambar rama-rama, yakni simbol transgender yang menandakan perubahan. Kementerian Kesihatan Malaysia, melalui Pertandingan Video Kreatif Kesihatan Seksual dan Reproduktif Peringkat Kebangsaan anjurannya telah menyebarkan teori bahawa identiti lesbian, gay dan transgender boleh “dicegah” atau “dikawal,”suatu teori yang silap dan berbahaya.

© 2014 Javad Tizmaghz for Human Rights Watch

Dalam suratnya kepada Menteri Kesihatan, Dr. Subramaniam Sathasivam, Human Rights Watch menyuarakan kebimbangan kerana pertandingan yang mengajak remaja menghantar video asli tentang topik-topik tertentu turut meliputi skop “kecelaruan gender,” selain cadangan bagi “mencegah, mengawal dan meminta bantuan” bagi individu “lesbian, gay, transgender (mak nyah), transvestite dan tomboy/pengkid.” Hal tersebut dikhuatiri mencetuskan stigma dan diskriminasi.

Menurut Neela Ghoshal, penyelidik kanan LGBT di Human Rights Watch, “Dengan menggambarkan golongan LGBT seperti warga kelas kedua bermasalah yang perlu ditangani sedangkan LGBT adalah suatu aspek kelainan insan yang seharusnya dihormati dan diterima, Kementerian Kesihatan mengekang hak warga LGBT untuk mendapatkan standard kesihatan yang terbaik, menjejaskan hak kesamarataan serta hak untuk tidak didiskriminasi.”

Human Rights Watch mengetengahkan dalam suratnya bahawa Pertubuhan Kesihatan Sedunia 

(WHO) telah pun mengeluarkan istilah ‘homoseksualiti’ daripada Klasifikasi Penyakit Antarabangsa (ICD) pada 1990 dan memastikan istilah ‘kecelaruan gender’ dikeluarkan daripada senarai sakit kecelaruan mental yang sedang dikemas kini untuk diterbitkan tidak lama lagi. Agensi-agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang lain mengkritik kaedah “conversion therapy” yang kononnya mampu menukar orientasi seksual dan identiti gender, sebagai amalan yang tidak beretika dan berbahaya. Menurut Persatuan Psikiatri Dunia, “Tiada bukti saintifik yang kukuh menunjukkan bahawa fitrah orientasi seksual boleh ditukar. Tambahan pula, rawatan terhadap homoseksualiti berisiko mewujudkan suasana yang menyemarakkan lagi prejudis dan diskriminasi, justeru amat berbahaya. Sebarang peruntukan intervensi bertujuan ‘merawat’ sesuatu yang pada hakikatnya bukan penyakit adalah tidak beretika sama sekali.”

Garis panduan pertandingan itu juga menyebut seolah-olah “mencegah” dan “mengawal” tarikan seksual sesama jenis atau identiti transgender dapat mengurangkan insiden jangkitan HIV. Ini bercanggah dengan garis panduan agensi-agensi kesihatan global yang menegaskan bahawa homofobia dan transfobia adalah faktor yang menghambat respons HIV secara efektif. Strategi terbaik bagi mengatasi pandemik ini adalah dengan bersandarkan hak asasi dan bukti kukuh.

“Kementerian Kesihatan juga seolah-oleh mencadangkan bahawa golongan LGBT bertanggungjawab ke atas wabak HIV - sedangkan penyakit HIV merebak kerana ketakutan stigma dan diskriminasi yang menimpa mereka,” ujar Ghoshal lagi.

Dalam surat tersebut, Human Rights Watch turut mengetengahkan gesaan daripada Pertubuhan Kesihatan Pan-Amerika kepada ahli profesional kesihatan, agar tidak mendatangkan sebarang mudarat kepada golongan ini: “Biarpun setiap ekspresi homofobia begitu dikesali, mudarat yang tercetus akibat kejahilan, prejudis atau sikap tidak bertoleransi daripada ahli profesional kesihatan langsung tidak dapat diterima dan wajib dielakkan. Bukan sahaja penting agar setiap orang yang mendapatkan khidmat kesihatan dilayan dengan penuh hormat dan bermaruah, malah, amat kritikal agar penggunaan teori dan model pemikiran yang melihat homoseksualiti sebagai suatu ‘penyimpangan’ atau pilihan yang dapat diubah dengan ‘iltizam diri’ atau ‘sokongan terapeutik’ dielakkan sama sekali.”

Human Rights Watch turut menyuarakan kebimbangan kerana pertandingan video tersebut disasarkan kepada golongan muda antara umur 13 hingga 24 tahun.

“Dengan menyasarkan golongan muda dalam pertandingan video ini, Kementerian Kesihatan secara tidak langsung menggalakkan kebencian dan stigma diri dalam khalayak remaja LGBT yang berisiko tinggi,” begitu menurut Ghoshal. “Hal ini juga berisiko menguatkan prasangka buruk dalam kalangan remaja heteroseksual dan cisgender, sekali gus meningkatkan homofobia, buli transfobia serta penyisihan yang memberi kesan buruk kepada remaja LGBT di sekolah, malah mungkin menyebabkan remaja LGBT terus meninggalkan persekolahan mereka.”

Human Rights Watch menyeru Kementerian Kesihatan untuk segera menyiarkan kenyataan akhbar yang membatalkan kategori “kecelaruan gender” daripada pertandingan video ini. Sementara itu, Kementerian wajar memberikan penjelasan kepada rakyat Malaysia bahawa kelainan seksual dan gender bukanlah sesuatu yang boleh “dicegah” atau “dikawal.” Kementerian juga harus membuat permohonan maaf kepada warga lesbian, gay, biseksual, transgender dan golongan kelainan gender minoriti di Malaysia akibat risiko yang telah tercetus susulan kempen pertandingan video tersebut.​