Skip to main content

Malaysia: Tindakan keras ke atas Kebebasan Bersuara Diperhebat

Ordinary Citizens Targeted Alongside Activists, Politicians Rakyat Biasa Menjadi Sasaran, Disamping Para Aktivis dan Ahli Politik

Garisan polis Malaysia untuk menghalang para penunjuk perasaan daripada memasuki pusat bandar Kuala Lumpur, 29 Ogos 2015. © 2015 Phil Robertson/Human Rights Watch

(Kuala Lumpur) – Menurut Human Rights Watch dalam laporannya hari ini, tindakan pendakwaan oleh kerajaan Malaysia sepanjang tahun lalu terhadap kebebasan bersuara secara aman telah diperluaskan melangkaui para aktivis dan ahli politik kepada rakyat biasa di media sosial. Tindakan keras kerajaan ini memberi isyarat bahawa ianya terus menyekat kebebasan bersuara dan berhimpun di negara ini.

Laporan setebal 40 halaman tersebut yang berjudul "Pendalaman Budaya Ketakutan: Penjenayahan Kebebasan Bersuara Secara Aman di Malaysia,” mendokumenkan penggunaan undang-undang yang luas dan samar-samar takrifannya oleh pihak kerajaan untuk menjenayahkan kebebasan bersuara dan berhimpun secara aman. Semenjak laporan Human Rights Watch pada Oktober 2015 yang bertajuk “Mencipta Budaya Ketakutan,” kerajaan Malaysia tidak banyak berbuat apa-apa untuk menyelaraskan undang-undang dan amalan-amalan ini sesuai dengan piawaian perundangan antarabangsa. Sebaliknya, kerajaan ini telah mengesyorkan untuk mengukuhkan undang-undang yang membataskan kebebasan bersuara di media sosial serta mengetatkan undang-undang lain yang melanggar hak-hak asasi.

"Menjenayahkan kebebasam bersuara secara aman nampaknya menjadi sebahagian daripada usaha kerajaan Malaysia yang lebih besar bagi mengetatkan kawalan mereka terhadap sesiapa sahaja yang menyatakan rasa tidak puas hati tentang isu politik," kata Phil Robertson, timbalan pengarah bahagian Asia untuk Human Rights Watch. "Pihak berkuasa perlu berhenti mendakwa warganya hanya disebabkan kritikan atau kenyataan yang dianggap 'menghina'. Kerajaan perlu segera menyemak semula undang-undang untuk memenuhi piawaian antarabangsa untuk kebebasan bersuara."

Pihak kerajaan secara khususnya telah berusaha untuk menghukum para individu yang antaranya  mengkritik pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak, mengulas mengenai skandal rasuah besar-besaran yang melibatkan syarikat milik kerajaan 1 Malaysia Development Berhad (1MDB), atau membuat komen di media sosial yang dianggap "menghina" kepada Najib atau kerabat diraja Malaysia. Kerajaan telah berusaha untuk menghalang orang daripada menganjurkan perhimpunan dan protes awam dengan menggunakan kawalan perundangan negara yang ketat iaitu Akta Perhimpunan Aman. Kerajaan ini juga telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk menyembunyikan maklumat kontroversi daripada diketahui oleh orang ramai, seperti yang dilihat dengan penggunaan Akta Rahsia Rasmi bagi melindungi laporan mengenai skandal 1MDB daripada pengetahuan umum.

Antara kes yang didokumenkan Human Rights Watch dalam laporannya itu ialah berkenaan artis Fahmi Reza, yang menghadapi dua pertuduhan jenayah atas penyiaran imej badut berwajah Najib di media sosial dengan bedak putih pada mukanya, kening yang melengkung dan mulut merah berdarah. Pada bulan Jun 2016, mahkamah menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atas Mohammed Amirul Azwan Mohammad Shakri, berusia 19 tahun, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia selepas dia mengaku bersalah "menghina" Sultan Johor di media sosial. Apabila dia merayu hukuman tersebut yang disifatkan sebagai terlalu keras, mahkamah kemudiannya memerintahkan dia sebaliknya dihantar ke sekolah pemulihan akhlak sehingga berumur 21 tahun – suatu tempoh waktu hampir dua tahun.

Kebanyakan kes-kes ini dikemas kini daripada laporan Human Rights Watch pada Oktober 2015. Sebagai contoh, kerajaan telah mempergiat pendakwaan terhadap enam orang yang didakwa di bawah Akta Hasutan kerana membuat ucapan pada forum Mei 2013 bagi membantah keputusan pilihan raya umum 2013. Lima orang setakat ini telah disabitkan kesalahan dan dihukum. Dalam setiap kes, pihak pendakwaan menekankan keperluan untuk mereka diberikan hukuman penjara yang keras. Dalam kes yang paling baru, Tian Chua, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), didapati bersalah dan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan berserta denda RM1,800 (AS $433).

Sepanjang tahun lepas, kerajaan Malaysia juga telah menggunakan Akta Rahsia Rasmi yang ketinggalan zaman dan zalim itu untuk melindungi laporan Ketua Audit Negara mengenai skandal 1MDB daripada  pengetahuan umum. Akta ini juga digunakan untuk mendakwa ahli parlimen pembangkang yang dituduh mendedahkan maklumat daripada laporan audit tersebut. Skandal 1MDB merupakan suatu perkara yang melibatkan kepentingan awam yang besar di Malaysia. Berhadapan dengan kebocoran maklumat baru mengenai skandal 1MDB, kerajaan juga telah mengancam untuk meningkatkan hukuman penjara sehingga ke seumur hidup di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Human Rights Watch mengulangi gesaan kepada kerajaan Malaysia untuk berhenti menggunakan undang-undang jenayah terhadap kebebasan bersuara dan protes secara aman. Human Rights Watch turut mendesak kerajaan ini untuk menyelaraskan undang-undang dan dasar-dasarnya agar selari dengan piawaian serta perundangan hak asasi manusia antarabangsa yang melindungi kebebasan bersuara dan berhimpun.

"Sebagaimana nasib politik Perdana Menteri Najib yang semakin merudum, sikap kerajaan Malaysia yang enggan bertolak ansur terhadap suara-suara yang mengkritik mereka nampaknya semakin meningkat," kata Robertson. "Masa depan Malaysia sebagai sebuah negara yang menghormati hak-hak asasi tidak semestinya menjadi tebusan semata-mata hanya kerana untuk mempertahankan reputasi pentadbiran kerajaan Najib."

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country