Skip to main content

Malaysia: Pindaan Tatacara Undang-undang Menggugat Hak

Pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah Menghakis Bidang Kuasa Badan Kehakiman

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak (Kiri) berserta pengawal-pengawal peribadinya meninggalkan perkarangan Parlimen di Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 Januari 2016. © 2016 Reuters

(Bangkok) – Dewan Negara Malaysia harus menolak cadangan pindaan undang-undang oleh kerajaan Malaysia kerana ia menggugat hak orang tertuduh, begitu menurut Human Rights Watch hari ini. Pindaan kepada Kanun Tatacara Jenayah diluluskan oleh Dewan Rakyat di Parlimen pada 19 Mei 2016 dan akan dibahaskan di Dewan Negara pada sesi bermula 13 Jun.

Cadangan pindaan tersebut diusulkan pada ketika kerajaan Perdana Menteri, Najib Razak semakin berkeras memburu aktivis masyarakat sivil yang lantang mengkritik kerajaan, tambah Human Rights Watch. Pindaan kanun ini akan menyekat budi bicara hakim daripada mengenakan hukuman yang lebih ringan ke atas pesalah, malah, membolehkan kes dibicarakan berdasarkan keterangan bertulis serta keterangan saksi pendakwaan yang tidak dikenali. Terdahulu, keterangan seperti ini tidak dibenarkan. Pindaan ini juga bakal memperluaskan lingkungan kesalahan politik dan kesalahan lain yang tidak dibenarkan ikat jamin.

“Cadangan pindaan ini adalah sebahagian trend kerajaan Malaysia yang membimbangkan. Kerajaan cuba melucutkan hak tertuduh untuk mendapatkan pembicaraan yang adil tatkala negara sedang bergelut dengan pergolakan politik,” begitu ujar Phil Robertson, timbalan pengarah Human Rights Watch bahagian Asia. “Dewan Negara sewajarnya menolak pindaan ini kerana ia menggugat hak tertuduh serta bidang kuasa hakim yang mahu melindungi hak tersebut.”

Cadangan pindaan ini telah mencetuskan keraguan yang serius tentang komitmen kerajaan dalam menjamin hak pembicaraan yang adil, ujar Human Rights Watch lagi. Rang undang-undang yang akan dibahaskan di Dewan Negara merangkumi peruntukan yang membenarkan keterangan saksi pendakwaan yang tidak dikenali dan keterangan bertulis tanpa didengar oleh tertuduh, bahkan, tanpa persetujuan tertuduh. Kedua-dua peruntukan tersebut menafikan hak tertuduh untuk memeriksa balas saksi pendakwaan terhadap mereka, sekali gus melanggar standard pembicaraan mahkamah yang adil yang diperakui antarabangsa.

Cadangan pindaan ini adalah sebahagian trend kerajaan Malaysia yang membimbangkan. Kerajaan cuba melucutkan hak tertuduh untuk mendapatkan pembicaraan yang adil tatkala negara sedang bergelut dengan pergolakan politik.
Phil Robertson

Timbalan Pengarah Human Rights Watch

Selain itu, pindaan akan dibuat kepada Kanun Tatacara Jenayah bertujuan menukarkan status beberapa kesalahan tambahan kepada “tidak dibenarkan ikat jamin” – justeru, ikat jamin bukan lagi hak mutlak tertuduh, padahal undang-undang antarabangsa menggalakkan agar tertuduh dalam kes jenayah dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu tarikh pembicaraan. Seksyen 124B-124J Kanun Keseksaan yang mendefinisikan “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen” sebagai suatu kesalahan jenayah, turut disenaraikan sebagai “tidak dibenarkan ikat jamin” rentetan pindaan tersebut. Usaha menafikan hak ikat jamin bagi kesalahan-kesalahan tersebut dilihat sebagai cubaan kerajaan untuk mematahkan komentar pengkritik dan aktivisme aman, tambah Human Rights Watch, kerana pihak berkuasa telah berkali-kali mengguna pakai peruntukan tersebut untuk menangkap individu yang mengkritik kerajaan atau mereka yang menyuruh Najib untuk meletak jawatan.

Di bawah cadangan pindaan ini juga, hakim tidak lagi mempunyai budi bicara untuk melepaskan pesalah kali pertama, sama ada dilepaskan secara bersyarat ataupun tidak. Hakim juga tidak lagi mempunyai budi bicara untuk melepaskan pesalah kali pertama dalam tempoh percubaan sekiranya terdapat hukuman jenayah yang diperuntukkan, pada bila-bila masa sahaja jika pesalah didapati melakukan jenayah yang “serius” – istilah yang tidak didefinisikan dalam akta. Hal yang demikian ini mengekang kuasa mahkamah daripada mempertimbangkan faktor umur, kesihatan fizikal dan mental pesalah, ataupun faktor peringan membabitkan kesalahan tersebut. Pihak yang turut terkesan akibat penarikan bidang kuasa hakim untuk melepaskan pesalah kali pertama ialah individu-individu yang kini berdepan dakwaan atau sedang disiasat kerana pelibatan mereka dalam aktivisme politik.

“Rombakan undang-undang yang dicadangkan menunjukkan kerajaan Najib sedang bersiap-siaga untuk menghukum aktivis-aktivis aman dengan mencabut hak pembicaraan yang adil,” ujar Phil Robertson. “Sahabat-sahabat Malaysia yang prihatin harus mengetengahkan isu ini kerana kedaulatan undang-undang Malaysia sedang diancam oleh kerajaan dan akan meninggalkan kesan jangka masa panjang.”

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country