Skip to main content

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah mengibarkan bendera kebangsaan pada sambutan Hari Kebangsaan di Kuala Lumpur, 31 Ogos 2015.

Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak yang akan mengunjungi London minggu depan bagi menggalakkan pelaburan asing, kini dibelenggu kontroversi politik di tanah air sendiri. Skandal rasuah melibatkan dana milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih menjadi buah mulut ramai walaupun Najib sudah “dibersihkan” daripada sebarang kesalahan oleh peguam negara yang baru dilantik beliau pada bulan Julai selepas beliau memecat peguam negara sebelum itu tanpa alasan. Dengan negara-negara asing, dari Switzerland hinggalah ke Singapura yang sedang menyiasat dana yang terpalit pelbagai isu itu, skandal 1MDB telah menarik perhatian media seluruh dunia. Akan tetapi, di Malaysia, sesiapa yang bercakap dalam khalayak ramai atau menulis tentang isu ini bakal berdepan masalah.

Pada bulan Februari, kerajaan Malaysia menyekat akses The Malaysian Insider, sebuah portal berita dalam talian selepas ia melaporkan skandal itu. Dalam pada itu, kerajaan memberi amaran kepada pihak media lain agar tidak menyiarkan berita yang “tidak sahih.” Selepas sebulan disekat, The Malaysian Insider terpaksa menggulung tikar. Kerajaan turut menyekat akses laman web lain, termasuk Sarawak Report yang berpangkalan di UK setelah portal tersebut menyiarkan artikel tentang skandal yang sama.

Bukan itu sahaja, malah peguam, ahli politik pembangkang dan aktivis yang lantang mengkritik cara kerajaan mengendalikan skandal tersebut atau mencabar Najib agar meletak jawatan telah dipanggil polis untuk soal siasat bersabit jenayah hasutan atau “aktiviti yang menjejaskan demokrasi berparlimen.” Individu yang memuat naik komentar di media sosial juga turut menjadi sasaran di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.

Bukan setakat itu, malah Badan Peguam Malaysia iaitu badan kehormat di Malaysia yang selama ini lantang mempertahankan hak asasi dan kedaulatan undang-undang turut bangun mengkritik kerajaan. Pada bulan Mac, Badan Peguam meluluskan usul bagi menggesa peguam negara supaya meletakkan jawatan bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan negara. Sejurus selepas itu, kerajaan membuka siasatan kes hasutan terhadap tiga peguam yang mengutarakan usul tersebut termasuk setiausaha Badan Peguam, dan turut menuntut minit mesyuarat yang diklasifikasikan sebagai maklumat sulit.

Malaysia dan United Kingdom sekian lama mempunyai hubungan yang rapat dan mesra. Namun, sewaktu Perdana Menteri UK, David Cameron mengunjungi Najib pada bulan Julai tahun lepas, Cameron dilaporkan telah bertanyakan isu tersebut dan menggesa Najib agar “membersihkan kerajaannya.” Gesaan tersebut sudah tentu bukanlah menyuruh Najib agar menyekat portal media daripada menyiarkan skandal rasuah. Ia juga bukan satu gesaan untuk mendakwa individu yang mengkritik kerajaan atau mengancam kebebasan bersuara persatuan peguam tersohor negara. Ternyata rundingan agresif diperlukan bagi menjayakan misi lawatan Najib kali ini. 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.