Skip to main content

Golongan transgender berdepan diskriminasi dan penganiayaan daripada pihak penguat kuasa negeri dan kakitangan mereka termasuk pekerja sektor kesihatan awam, guru dan pentadbir kerajaan negeri. © 2014 Javad Tizmaghz for Human Rights Watch

Asalnya, Ira Sophia merancangkan majlis petang yang penuh riang bagi warga komuniti transgender. Majlis makan malam tertutup buat jemputan khas seramai 200 orang ini berlangsung di hotel bertaraf lima bintang, Hotel Renaissance di Kuala Lumpur pada 3 April dan bertujuan mengutip dana amal.

Bagi menghiburkan para jemputan, sebahagian tetamu yang hadir mengadakan pertandingan ratu cantik olok-olok dengan memakai pakaian mewakili pelbagai negara.

Yang sedihnya, penat lelah Ira Sofia mungkin berakhir dengan hukuman penjara.

Pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) bertindak menyerbu majlis itu lalu mengunci semua pintu dewan besar hotel untuk menghalang tetamu daripada meninggalkan dewan. Pada masa yang sama, pihak media yang dibawa bersama oleh Jawi merakam gambar mereka yang hadir dalam majlis tersebut. Pihak Jawi menyerbu tanpa sebarang waran dengan tidak diiringi seorang pun pegawai polis.

Apabila salah seorang tetamu jemputan iaitu peguam, Siti Kasim menyoal pegawai Jawi, mereka menjawab bahawa mereka tidak memerlukan waran. Kebanyakan hadirin dibenarkan pulang hanya setelah Siti menelefon polis dan polis kemudiannya sampai di lokasi kejadian.

Alasan serbuan tersebut berpunca daripada maklumat yang diperolehi Jawi dua bulan sebelumnya yang mendakwa pertandingan ratu cantik bakal diadakan dalam majlis makan malam tersebut. Fatwa bertarikh 1996 yang diwartakan di Wilayah Persekutuan mengharamkan wanita Islam daripada menyertai pertandingan ratu cantik.

Serbuan, tangkapan tidak berasas dari segi undang-undang

Memandangkan penguat kuasa agama Islam di Malaysia tidak mengiktiraf wanita transgender sebagai wanita, perbuatan menyerbu dan menangkap penganjur majlis itu adalah langsung tidak munasabah dan tidak berasas dari segi undang-undang.

Jawi menahan Ira Sophia selama 24 jam di ibu pejabat mereka. Jawi kemudiannya memberitahu, besar kemungkinan Ira akan didakwa pada 5 Mei bersabit dua kesalahan mengikut Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah Persekutuan) – kerana “menggalakkan maksiat” dan “mengingkari arahan pihak berkuasa agama” – meskipun kedua-dua dakwaan ini bukan asas kepada serbuan tersebut.

Kedua-dua kesalahan ini boleh membawa hukuman sehingga lima tahun penjara.

Serbuan tanpa waran dan ugutan untuk mendakwa tersebut hanyalah satu daripada pelbagai kisah ngeri tentang penguat kuasa agama Islam Malaysia yang semakin menjadi-jadi.

Semasa sesi perbincangan dengan kumpulan pejuang hak transgender di Malaysia, Human Rights Watch diberitahu bahawa Jawi dan pihak penguat kuasa agama di beberapa negeri kerap menyerbu majlis peribadi, malah, rumah peribadi tanpa waran.

Sungguhpun dalam kes ini, serbuan dibuat kerana dakwaan berlangsungnya “pertandingan ratu cantik,” dalam banyak kes lain, mereka menyerbu dengan alasan mahu menyiasat kesalahan khalwat (larangan ke atas pasangan lelaki perempuan yang belum berkahwin daripada berdua-duaan di tempat sunyi), atau kerana mencari “lelaki berlagak seperti perempuan,” yang juga suatu kesalahan mengikut undang-undang Islam. 

Serbuan diiringi pihak media

Dalam banyak kes, penyerbu daripada pejabat agama ini membawa pihak media bersama mereka dan membenarkan rakaman video diambil – berserta wajah dan maklumat peribadi individu yang diserbu – dengan tujuan untuk dipertontonkan secara meluas menerusi saluran televisyen utama.

Pencabulan hak pergaulan dan privasi yang berlaku secara terang-terangan ini masih berterusan kerana ahli politik dan pihak polis mengelak-elak daripada menegur Jawi, sementara lelaki dan wanita transgender yang terperangkap oleh Jawi pula terlalu takut untuk mencabar mereka.

Bezanya kejadian serbuan terbaru ini disebabkan peguam Malaysia, Siti Kasim yang hadir sebagai tetamu jemputan di majlis tersebut. Beliau dengan suara lantang mencabar bidang kuasa Jawi yang menyerbu ruang majlis dan membuat penahanan tanpa waran dan ketiadaan pegawai polis. Kelantangan Siti dirakam menerusi video dan disiarkan dalam berita utama.

Sebagai tindakan balas, Jawi bukan setakat memaksa Siti untuk hadir sama di balai polis, bahkan turut memfailkan aduan jenayah terhadapnya. Siti kini berdepan dakwaan bersabit kesalahan “intimidasi jenayah” dan “menghalang tugas penjawat awam.”

Kerajaan Malaysia wajar bertindak bagi menghentikan penganiayaan rutin terhadap warga transgender dan golongan terpinggir yang lain oleh penguat kuasa agama. Hatta kerajaan Arab Saudi sekalipun telah mengambil langkah untuk mengekang bidang kuasa pegawai agama yang membuat serbuan dan tangkapan kerana menyedari berlakunya salah guna kuasa. Pihak berkuasa kerajaan persekutuan dan negeri di Malaysia sepatutnya mengambil langkah yang sama.

Malaysia perlu memansuhkan undang-undang dan fatwa yang berbaur diskriminasi, yang menafikan hak asasi warga transgender, termasuklah enakmen Syariah yang melarang “lelaki berlagak seperti perempuan” atau “perempuan berlagak seperti lelaki.” Sebaliknya, Malaysia harus meluluskan undang-undang yang melarang diskriminasi atas dasar orientasi seksual, identiti gender dan ekspresi gender.

Secara tuntasnya, pegawai kerajaan, ahli politik dan pemimpin agama di Malaysia wajar menghentikan perbuatan mengeluarkan kenyataan bersifat tohmahan atau cemuhan terhadap golongan transgender. Mereka sepatutnya mengambil langkah untuk melindungi warga transgender daripada kekejaman dan diskriminasi terhadap golongan ini.  

 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic