Skip to main content

Malaysia: Hentikan Menghukum Mahasiswa yang Bersuara

Peraturan Universiti Bertentangan Dengan Kebebasan Bersuara dan Berhimpun

(New York) – Universiti di Malaysia perlu berhenti menggunakan peraturan tatatertib untuk menutup mulut aktivis mahasiswa dan mengekang diskusi melibatkan isu kepentingan awam, begitu menurut Human Rights Watch (HRW) hari ini. Dalam kejadian terbaru, Universiti Malaya (UM) menghukum enam pelajarnya pada 16 Februari 2016 kerana mengadakan persidangan akhbar tanpa kebenaran pihak universiti. 

Seorang pemimpin mahasiswa menuntut pemansuhan Akta Hasutan di luar bangunan Kementerian Dalam Negeri di Putrajaya pada 5 September 2014. © 2014 Reuters


Pada sidang akhbar yang diadakan pada Disember 2015 tersebut, mahasiswa terbabit mendakwa pihak universiti bakal mengenakan had bulanan terhadap penggunaan internet oleh pelajar. Pihak universiti kemudiannya menafikan dakwaan tersebut lantas mengenakan tindakan tatatertib terhadap mereka. Mahasiswa terbabit bernasib baik kerana dilepaskan hanya dengan amaran keras – di bawah peraturan universiti, mereka boleh digantung atau dibuang terus daripada universiti.

“Sepatutnya, universiti menjadi tapak perbincangan dan diskusi terbuka,” kata Phil Robertson, Timbalan Pengarah HRW Asia. "Pelajar tidak sepatutnya dihukum apabila bersuara secara aman atas alasan menguatkuasakan disiplin universiti.”

UM sudah berulang kali melarang pelajarnya daripada bersuara tentang isu kepentingan awam, melarang kehadiran penceramah di kampus, malah menyekat perhimpunan mahasiswa. Tindakan tersebut dibuat bersandarkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) yang merangkumi bidang kuasa yang luas, termasuk peraturan tatatertib yang dirangka di bawah bidang kuasa AUKU. Selain itu, AUKU melarang pelibatan pelajar dalam aktiviti parti politik di kampus dan turut melarang pelajar daripada melakukan atau menyatakan “apa-apa jua yang boleh semunasabahnya ditafsirkan sebagai menyatakan sokongan” kepada “mana-mana persatuan, pertubuhan, badan atau kumpulan orang yang tidak sesuai demi kepentingan dan kesentosaan pelajar atau Universiti itu.”

Dengan bersandarkan bidang kuasa yang luas di bawah AUKU, UM menggubal peraturan tatatertib yang melarang pelajar daripada mengadakan apa-apa perhimpunan atau mengedarkan apa-apa dokumen tanpa kebenaran, dan melarang urusan mereka dalam apa-apa cara yang boleh “merosakkan atau memudaratkan (i) kepentingan, kesejahteraan atau nama baik Universiti... atau (ii) ketenteraman atau keselamatan awam, moral, kesopanan atau tatatertib”. Pelajar yang dihukum kerana melanggar peraturan akan dikenakan amaran, malah, boleh dibuang universiti.

Ekoran peraturan tersebut, pada Mei 2014, UM  mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada empat wakil kesatuan mahasiswa berserta amaran bahawa mereka berdepan dakwaan tatatertib kerana memaparkan sepanduk mengkritik Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPP) dan tindakan Amerika Syarikat di Timur Tengah semasa sesi perjumpaan di kampus, yang turut dihadiri Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama. Walaupun Duta AS Joseph Yun tampil menyokong hak mahasiswa untuk membantah secara aman, pihak universiti sebaliknya mendakwa tindakan mahasiswa tersebut merosakkan reputasi dan kedudukannya. Fahmi Zainol, Setiausaha Agung kesatuan mahasiswa ketika itu menyebut bahawa layanan pegawai kedutaan Amerika Syarikat terhadap mereka jauh lebih baik berbanding layanan pihak universiti sendiri.

Anwar Ibrahim  yang sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan yang bermotifkan politik hanyalah seorang daripada beberapa orang penceramah yang dilarang memasuki kampus UM oleh pihak berkuasa universiti. Bekas Presiden Majlis Peguam, Ambiga Sreenevasan juga dihalang daripada berucap di konvensyen kerjaya fakulti undang-undang tentang litigasi awam pada Mac 2014, sementara ahli parlimen pembangkang, Tony Pua pula dilarang berucap di UM dalam tiga majlis yang berbeza. Lantaran peraturan universiti yang melarang sebarang pelajar daripada “membuat apa-apa bantahan” terhadap “larangan atau pemecatan mana-mana orang dari kampus”, pelajar langsung tidak boleh mengadu tentang tindakan universiti kerana berdepan hukuman atas sebab melanggar peraturan tatatertib universiti. 
Pelajar tidak sepatutnya dihukum apabila bersuara secara aman atas alasan menguatkuasakan disiplin universiti.
Phil Robertson

Timbalan Pengarah Asia


Bukan Universiti Malaya sahaja yang bertindak sedemikian. Pada 2014, tidak lama selepas profesor madya fakulti undang-undang Azmi Sharom didakwa atas tuduhan menghasut berhubung kenyataannya mengenai krisis perundangan Perak pada 2009, beliau dijemput memberikan syarahan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) tentang Akta Hasutan. Namun, ketika beliau tiba di UKM pada 2 Oktober, beliau diberitahu oleh pihak keselamatan UKM bahawa beliau dilarang menyampaikan syarahannya. 

“Sepatutnya, universiti-universiti di Malaysia meraikan sesi dialog awam dalam kalangan pelajarnya, bukan mengekangnya,” ujar Robertson. “Larangan yang terkandung dalam AUKU dan peraturan disiplin universiti adalah bertentangan dengan semangat kebebasan akademik dan melanggar prinsip kebebasan bersuara dan berhimpun. Justeru, ia patut dimansuhkan.”

Usaha Zainol yang berterusan memperjuangkan dialog awam mengakibatkan pengajiannya digantung selama dua semester oleh pihak universiti pada November 2014. Hukuman tersebut rentetan majlis pidato  Anwar Ibrahim, ketua pembangkang yang juga bekas mahasiswa UM yang diatur oleh Zainol pada bulan lepas. 

Your tax deductible gift can help stop human rights violations and save lives around the world.

Region / Country
Topic